Di negara kaya, mereka hanya membelanjakan 10 peratus daripada pendapatan untuk perbelanjaan makanan. Penduduk negara membangun membelanjakan 30 peratus, manakala di negara mundur 50 hingga 60 peratus digunakan untuk makanan.
Kenaikan harga makanan akan menjadikan lebih ramai manusia miskin dan lebih ramai akan kebuluran. Ini adalah krisis yang memberi impak besar kepada tamadun manusia.
Ade macam-macam pendapat diberi. Sebab kenaikan harga makanan hari ini adalah kerana kenaikan harga minyak dunia. Ia memberi impak kepada keseluruhan rantaian pengeluaran makanan, dari ladang dan harga baja berasas nitrogen, kepada pemprosesan hinggalah ke logistik.
Ini sekali gus menaikkan kos pengeluaran makanan yang memberi kesan kepada pengguna. Faktor ini tidak boleh dikawal selagi pemimpin dunia tidak boleh bersetuju untuk mengawal harga minyak.
Selain itu, perubahan iklim juga dikatakan sebagai satu faktor. Bermula dengan pelepasan gas karbon dioksida yang berlebihan, akhirnya melarat kepada pengurangan hasil pertanian.
Ada pula yang mengatakan kerancakan dunia untuk menghasilkan ‘biofuel’ sebagai ganti bahan bakar daripada ‘fossil fuel’ (minyak yang digerudi) menjadi sebab kenaikan harga makanan. Makanan dijadikan minyak, stok makanan di pasaran menjadi kurang. Lantas menaikkan harga makanan.
Tetapi perkiraan menunjukkan penghasilan ‘biofuel’ hanya menyumbang sekitar dua hingga tiga peratus saja kepada kenaikan harga makanan. Tambahan pula, teknologi penghasilan ‘biofuel’ adalah teknologi strategik yang harus disokong dan dikembangkan untuk kita menghadapi krisis tenaga dunia.
Masyarakat dunia sudah melakukan perkara yang sama ketika krisis makanan 1972. Melalui ‘Revolusi Hijau’, hasil produk pertanian dunia ditingkatkan untuk menampung permintaan. Revolusi hijau berjaya menstabilkan harga pasaran.
Negara kita melalui Padiberas Nasional Bhd (Bernas) sudah mengambil langkah untuk menambah import beras dari negara jiran, Thailand. Selain itu, inisiatif juga diambil oleh Bernas untuk meningkatkan pelaburan dan kerjasama dengan pekilang beras di Thailand.
Tetapi langkah ini bukan penyelesaian jangka panjang. Bayangkan jika krisis makanan terus memuncak dan Thailand enggan menjual beras kepada kita, maka kelaparanlah rakyat Malaysia.
Jepun tidak mempunyai tanah luas yang sesuai untuk tujuan pertanian, tetapi tidak mengimport beras dari mana-mana negara. Malaysia juga seharusnya memandang berat perkara ini dengan mengkaji semula dasar pertanian negara agar kita dapat mengurangkan pergantungan kepada negara asing.
Seperkara yang perlu diberi perhatian dalam menangani krisis makanan adalah bukan dengan tergesa-gesa memugar hutan di Sarawak untuk dijadikan jelapang padi. Sektor pertanian sangat bergantung kepada permintaan semasa kerana hasil pertanian tidak boleh disimpan lama.
Selain itu, kita juga tidak mahu dituduh oleh pihak Barat sebagai pemusnah alam hanya kerana memugar hutan. Kita harus berupaya untuk ‘menilik’ permintaan dalam negara untuk tahun-tahun akan datang dan menghasilkan produk pertanian sebanyak permintaan pasaran.
Sebagai contoh, krisis makanan dunia sekarang kerana penghasilan produk makanan meningkat sebanyak 1.1 peratus, manakala jumlah penduduk dunia meningkat sebanyak 1.2 peratus. Di sini, jika kita menganalisis data ini lebih awal lagi, sudah tentu kita dapat mengelak ditimpa krisis makanan.
Boleh kita fahami bahawa bukan mudah untuk menghasilkan produk pertanian sekadar permintaan pasaran. Industri pertanian sangat terdedah kepada risiko. Justeru, perancangan yang teliti pelbagai agensi kerajaan sangat diperlukan. Pertanian era ini bukan saja tanggungjawab Jabatan Pertanian, malah ia membabitkan seluruh jentera kerajaan.
Kerajaan sudah lama menubuhkan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk memartabatkan sektor pertanian. Kerajaan juga sudah menghantar puluhan pegawai ke Jepun dan serata dunia untuk mempelajari teknik pertanian moden.
Kita tidak memerlukan semua rakyat Malaysia menjadi petani. Misalnya pengeksport hasil pertanian, Amerika syarikat hanya mempunyai dua juta petani moden, kurang satu peratus daripada jumlah penduduk negaranya. Kita memerlukan modal insan yang komited dan teknologi tinggi untuk memajukan sektor pertanian.
Selain itu, kita mesti meningkatkan perbelanjaan penyelidikan untuk pertanian. Menghasilkan benih yang tahan penyakit melalui teknik pertanian konvensional atau pengubahsuaian genetik.
Mewujudkan sistem yang menyokong petani untuk memaksimumkan hasil pertanian mereka. Tanpa melakukan perkara ini, sektor pertanian akan menjadi tidak berdaya maju dan kompetitif.
Mungkin kita akan kehabisan tanah untuk bercucuk tanam apabila jumlah penduduk meningkat terlalu ramai. Halangannya terlalu banyak. Tetapi kita tidak ada pilihan selain memajukan sektor pertanian dan menanam padi sendiri.
Kita harus pantas bergerak sekarang, jika tidak kita bakal menjadi ‘pengemis dari negara bertanah subur’. Teringat ketika penulis masih kecil, dihiburkan oleh bonda dengan cerita Nabi Yusof AS mengumpul dan menyimpan gandum selama tujuh tahun untuk negaranya sebelum kedatangan musim kemarau panjang tujuh tahun.
Hasilnya, saudaranya yang dulu memusuhinya dan juga Ayahandanya Nabi Yaakub AS datang meminta bantuan. Juga teringat ketika bonda memberi peringatan, bertani adalah pekerjaan mulia, pekerjaan Nabi Daud AS, pekerjaan yang pasti membawa berkat. Sekarang selepas 20 tahun dihiburkan dengan cerita di atas, barulah terasa kepentingan sektor pertanian.
No comments:
Post a Comment