Di Sungai Petani, seorang kerani wanita sebuah syarikat di Sungai Lalang hilang sejak 17 hari lalu selepas ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang atas arahan majikan, menyebabkan keluarganya kini dalam kebimbangan.
Nor Fazilah Rohani, 24, anak ketiga daripada empat beradik, dipercayai hilang pada 11 Oktober selepas diberi kepercayaan oleh majikannya untuk mengeluarkan wang berjumlah RM3,000 bagi membayar bil elektrik.
Bapanya, Rohani Abdullah, 56, berkata, beliau mengetahui kehilangan itu pada petang hari kejadian setelah dimaklumkan oleh majikan Nor Fazilah kerana anaknya tidak pulang semula ke pejabat.
"Fazilah baru tiga bulan bekerja di syarikat itu, dan pada hari kejadian, dia diberi kepercayaan menggunakan kenderaan syarikat bagi mengeluarkan wang berkenaan untuk melunaskan bil elektrik, sementara baki wang perlu dibawa pulang.
"Bagaimanapun, sehingga lewat petang, Fazilah masih tidak pulang ke pejabat menyebabkan majikannya terus datang ke rumah kami untuk memberitahu tentang kejadian tersebut,” katanya kepada pemberita di rumahnya di sini.
Anggota keluarga serta rakan mereka turut mencarinya di merata tempat, namun hanya menjumpai kereta syarikat yang digunakan Nor Fazilah di sebuah pasar raya berdekatan bank pada 3 pagi keesokannya.
Rohani berkata, laporan polis mengenai kehilangan Nor Fazilah dibuat selain melakukan gerakan mencari dengan inisiatif sendiri. – Bernama
No comments:
Post a Comment